Di dunia ini, Allah mengurniakan saya dengan sahabat yang aneh-aneh belaka. Mereka ini hadir dalam hidup saya dengan keunikan tersendiri. Bukan sekadar berkongsi kegemaran yang sama, malah “kegilaan” setiap seorang daripada mereka juga saya hargai sebagai ciri yang membezakan mereka dengan mana-mana sahabat yang pernah saya kenali seumur hidup ini.Sudah menjadi adat orang berkelana, kadangkala kita merasakan bahawa kita tidak punya sesiapa. Tetapi dalam kita bersendiri, kita masih beruntung kerana memiliki seorang sahabat yang memahami. Dia adalah seseorang yang selalu membantu kita tanpa mengharap apapun selain senyuman kita. Dialah yang paling mengerti, yang memahami dan menerima kita apa adanya Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dengan dirinya.
Namun hakikatnya kita selalu terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan kita. Tentang perasaan kita. Tentang impian kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janji. Kita langsung tidak memberinya ruang dan kesempatan untuk menerangkan. Bagi kita, itu hanyalah alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kita lepaskan kemarahan yang terbuku di laman maya yang boleh diakses sesiapa sahaja. Tidak cukup dengan sindiran dan perlian, kita mengusirnya pergi jauh dari hidup kita.
Justeru itu, kerana banyaknya kelemahan yang kita ada, sewajarnya kita lebih sering menutur "maaf" berbanding terus-menerus menyalahkannya. Jika kita memang menganggapnya sahabat, kita seharusnya lebih mudah berkata, “aku tidak mahu menyusahkanmu” daripada “fahamilah diriku”. Cuba ingat kembali, mengapa ketika kita terjatuh, kita ingin seseorang memeluk atau sekadar menemani kita menghadapi kesakitan dan kepedihan itu? Mengapa kita memerlukan seseorang sebagai tempat kita mengadu?
Sedarkah kita bahawa kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti? Kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita berinya beribu alasan untuk memujuknya menerima kita kembali. Kita memaksa dia meluangkan masa untuk kita dan jika dia tidak dapat memenuhi permintaan kita, dengan kejamnya kita membiarkan dia merasa bersalah sendiri kerana tidak cuba menggembirakan kita. Waktu itu, terfikirkah kita akan perasaannya?
Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa. Tetapi kita tidak pernah ambil peduli. Untungnya ada dia, seorang sahabat yang sentiasa berada di sisi kita ketika kita memerlukannya. Dia mendengar luahan perasaan kita. Rasa ketakutan kita. Kebimbangan kita. Kedukaan kita. Tetapi setelah dia memberi solusi, kita anggap dia cuba mencampuri urusan peribadi kita. Selalu kita terlalu asyik bercerita tentang diri sendiri hingga terlupa dia juga ada kisah yang hendak dikongsi bersama kita.
Pernahkah kita memberi peluang kepadanya untuk meluahkan rasa bimbangnya, rasa takutnya kepada kita? Pernahkah kita menenangkan dirinya sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar berita kejayaan dan kegembiraannya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita sudah menyerah kalah dan berputus asa? Bolehkah kita yakinkan dia bahawa kita adalah insan yang boleh dia percayai, yang boleh dijadikan bahu sebagai tempat bersandar bila terasa lemahnya diri?
Sesekali, jadilah sahabat yang mendengar dari hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaannya kerana dia juga manusia biasa yang punya kelemahan seperti kita. Kita selalu melihat dia tertawa. Senyumannya bisa menceriakan sesiapa sahaja. Namun mungkin dia tidak seteguh yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya, mungkin ada banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik ketenangannya, barangkali ada sebeban keresahan yang tidak terluah dengan kata-kata. Kita tidak tahu semua itu. Jadi cubalah menjadi sahabat sepertinya. Mungkin nanti kita akan lebih mengenali siapa dirinya. Jangan menuntut agar disayangi, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan.
Penuhilah persahabatan anda dengan cinta, berikanlah cinta yang terbaik untuk mereka. Kepada rakan-rakan yang sedang mengalami kepincangan dalam persahabatan, jangan salahkan cinta! Tetapi cubalah perbaiki persahabatan anda itu dengan cinta kerana sifat cinta yang suci akan menutupi segala kesalahan, mudah memaafkan dan membuat segala sesuatu yang tidak mungkin menjadi mungkin. Kepada rakan-rakan yang belum mengerti erti persahabatan, cubalah mulakan sebuah persahabatan yang bermakna kerana dengan persahabatan, kalian akan bersikap lebih dewasa, tidak egois dan belajar untuk mengerti.
Bertahanlah, karena sahabat anda mungkin perkara terindah yang pernah hadir dalam hati anda. Berterima kasihlah kerana sahabat anda mungkin salah seorang yang telah membentuk jati diri anda sehingga anda menjadi seperti sekarang ini. Bersiap sedialah kerana anda mungkin akan kehilangan banyak sahabat untuk menemui sahabat-sahabat baharu sepanjang perjalanan hidup anda dan berdoalah semoga kita semua dapat berkumpul bersama di syurga ILAHI nanti.
Hargailah sahabat anda kerana boleh jadi hari ini hari terakhir kita melihat senyumannya.
Dan jika kita masih belum mampu menjadi sahabat baik buat seseorang, jadilah sahabat yang baik kepada semua orang supaya suatu hari nanti jika ditakdirkan mereka berada jauh dari pandangan kita, kita masih boleh melihat mereka. Kita akan merasakan kehadiran mereka kerana sebenarnya mereka begitu dekat di sini. Di dalam hati.
Aku mengasihi sahabat-sahabatku dengan seluruh jiwa ragaku, sama seperti aku mencintai sanak-saudaraku. Sahabatku yang baik seiring sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.
Aku selalu berdoa agar dikurniakan sahabat sejati yang baik dalam kedaan susah ataupun senang. Jika itu aku perolehi, aku berjanji akan selalu setia kepadanya.
Oleh itu, kuhulurkan tangan kepada sesiapa sahaja untuk berkenalan, kerana aku merasa bahagia. Semakin ramai aku mendapat sahabat, aku semakin percaya kepada diriku sendiri.
No comments:
Post a Comment