Wednesday, December 15, 2010

Assalamualaikum semua sahabatku...

Alhamdulillah, segala puji dan setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat-Nya kerana masih memberi aku peluang untuk terus hidup sehingga tibanya hari lahir aku pada hari ini. Syukur pada-Mu Ya Allah!
Masam Manis Kehidupan...

Ya. Begitulah ragam kehidupan yang telah aku lalui dalam meniti usia ini. Pelbagai kenangan dan peristiwa yang telah dilalui baik manis, masam, masin, kelat, payau, hambar dan berbagai-bagai rasa lagi yang sukar untuk aku nyatakan. Hanya Allah maha mengetahui apa yang telah aku lalui hingga aku mencapai tahap apa yang aku hadapi hari ini. Adakalanya ia terlalu perit untuk diceritakan, adakalanya ia terlalu sukar untuk diungkapkan. Namun semua pengalaman itu menjadikan aku lebih mengenal apa erti kehidupan yang sebenarnya.

Ada satu ketika, dimana aku begitu mengharapkan sesuatu itu hadir dalam kehidupan malangnya... aku hanya mampu berharap. Ada satu ketika, dimana sekian lama harapan itu semakin surut... aku memperolehnya dengan jalan yang tidak terduga oleh akalku. Subhanallah! Aku jadi insaf.

Disebalik sebuah kedukaan, masih terselit ruang kebahagiaan. Sejak lima tahun kebelakangan ini, aku sering diuji. Kadang-kadang terasa seperti ingin menyerah. Terlintas difikiran sentiasa, "Ya Allah, mengapa Kau uji aku sebegini?" Ya. Aku terasa seakan-akan lemah dan tidak mampu untuk bangun kembali.

Disebalik kelemahan dan kesedihan itu, aku bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang setia menjadi penyokong dan pendorong, aku bersyukur mempunyai sahabat yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat sehingga laluan yang sedang aku hadapi kini tidaklah terasa sesukar mana. Syukur pada-Mu Ya Allah. Sesungguhnya Kau maha mengetahui kesanggupan hamba-hamba-Mu.

No comments:

Post a Comment