Monday, February 14, 2011

Wajah bercahaya jika berselawat



Pada suatu hari, Abul Laits As Samarqandi sedangdalam perjalanan bermusafir bersama-sama ayahnya. Tiba-tiba dengan takdir Allah, ayahnya jatuh sakit. Semakin hari sakit ayahnya semakin melarat sehingga meninggal dunia. Tinggallah Abul Laits sendirian untuk meneruskan perjalanannya. Dia menunggu-nunggu jika muncul rombongan kafilah untuk meminta pertolongan menguruskan jenazah ayahnya itu.

Ketika menunggu, dia terlihat jenazah ayahnya bertukar menjadi hitam pekat. Dia tertanya-tanya mengapa wajah ayahnya berubah. Abul Lait kemudian tertidur kerana terlalu keletihan. Ketika itulah dia bermimpi seorang pemuda yang bercahaya wajahnya.

"Siapakah saudara?" Tanya Abul Laits. "Saya ialah Muhamad bin Abdullah." Mengertilah Abul Laits yang hadir dalam mimpinya itu ialah Rasulullah SAW. Hatinya sungguh gembira."Ya Rasulullah, apakah maksud dan tujuan kedatangan tuan ini?" "Saya datang kerana hendak menziarahi jenazah ayahandamu."

Setelah diizinkan, Rasulullah pun membuka kain yang menutupi mayat ayah Abul Laits. Baginda kemudian berdoa kepada Allah SWT. Ketika itu juga Abul Lait melihat wajah ayahnya yang gelap tadi telah bertukar menjadi bercahaya. "Wahai Rasulullah, apakah yang menyebabkan wajah ayahku menjadi hitam?"

"Ayahmu semasa hidup telah berbuat dosa dalam keadaan orang lain tidak mengetahuinya.
Tetapi pada waktu malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur, dia telah bangun dan merintih kepada Allah. Dia mengadu kepada Allah akan hal dirinya yang sering berbuat dosa kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya. Ayahmu juga sentiasa basah lidahnya dengan berselawat untuk saya. Oleh sebab itu, pada hari kematiannya Allah memerintahkan saya untuk menziarahi mayatnya."

Begitulah kisah yang dapat dipaparkan buat kali ini. Manusia memang selalu berbuat kesalahan kerana tidak mampu melawan hawa nafsu. Namun begitu, apa yang penting ialah kesedaran dan keinsafan perlu sentiasa ada dalam diri kita. Kemudian kita bersungguh-sungguh mengadu dan memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Semoga dengan rahmat Allah yang
maha luas itu,Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa orang yang sentiasa bertaubat daripada dosa samalah seperti orang yang tiada dosa. Namun begitu, bertaubat hendaklah dengan sebenar-benarnya daripada hati yang tidak ingin lagi mengulangi dosa-dosa yang pernah dilakukan.

No comments:

Post a Comment