Wednesday, December 22, 2010

YAKINLAH DIRI ANDA ADALAH YANG TERBAIK...



Cantik itu penting tetapi tidak usah terlalu dipentingkan. Ada orang hingga tidak sanggup keluar dari rumah kerana merasakan dirinya tidak cantik. Bagi wanita kecantikan adalah syarat hidup sempurna, sebenarnya bagi lelaki wanita cantik bukan syarat kebahagiaan.

Lelaki yang mudah terpegun dengan kecantikan selalunya tidak setia. Apabila pasangannya mula kelihatan hodoh, dia mudah terkalih perasaan. Tika itu dia mungkin merasakan cintanya telah tawar dan hanya manis kembali tatkala melihat wanita-wanita cantik di sekelilingnya.

Tidak usah perangkap lelaki dengan kecantikan anda yang palsu. Ramai wanita menghiasi wajahnya terlalu hingga memangsakan ramai lelaki tetapi kemudian ditinggalkan setelah wajah sebenar terserlah. Sudah tentu anda tidak mampu bersolek tebal 24 jam. Tapi itulah yang anda lakukan tatkala di alam percintaan. Tiba-tiba suami anda terkejut melihat anda tidaklah secantik sewaktu di alam percintaan dahulu. Tanpa mekap wajah anda biasa saja.

Kajian saya mendapati segelintir lelaki rasa tertipu pada hari kedua perkahwinannya. Pada hari kedua dia sudah dapat melihat wajah sebenar isterinya, yang selama ini ditopengi mekap tebal ‘sepuluh inci’.

Kecantikan dan bercantik-cantik itu memang penting, tapi tak usah hingga menenggelamkan wajah anda yang sebenar. Anda tentu tidak mahu orang menggagumi anda hari ini dan esok melupakannya. Berhiaslah seadanya untuk mencerlahkan keserian wajah.

Wajah yang berseri lebih berkesan daripada wajah ‘buatan’ yang kelihatan cantik sangat. Wajah yang berseri cukup dengan mekap seadanya.

Kecantikan umpama kereta. Ketika baru dibeli, rekabentuk dan warnanya memukau. Barunya harum dan seronok dipandu. Semakin lama semakin hilang serinya. Jika harganya mahal orang masih terliur melihat reka bentuknya walaupun warnanya telah mula kedam dan berdebu. Lama-lama ia tidak dipedulikan lagi kerana model-model baru sentiasa keluar dan kecantikan model-model baru ini sentiasa mengatasi.
Orang yang dahulunya membeli kereta berkenaan kerana cantik kini mula berfikir untuk menukarkannya. Persoalan cantik tidak akan ada kesudahan. Yang betul, membeli untuk kegunaan dan kekal sayang meskipun sudah ketinggalan zaman.

Jika anda tidak cantik, tak usah bersusah hati sebab tidak semua lelaki mementingkan kecantikan wajah sebagai syarat berteman. Ada lelaki yang tidak kisah sama ada cantik atau tidak asalkan hatinya berkenan, bersumberkan keikhlasan, budi pekerti serta pegangan agama yang mantap.

Lelaki yang benar-benar impikan kebahagiaan lebih mementingkan keperibadian daripada kecantikan, apalagi kecantikan luaran yang sengaja dibina untuk memukau. Kerana dia tahu kecantikan itu tidak kekal. Evolusi usia akan mengubahnya. Kecintaan yang dipahatkan oleh tautan hati yang jujur lagi ikhlas menjamin kehidupan sejahtera hingga ke penyudah.

Sebaliknya, kecantikan yang terlalu diada-adakan, akan berakhir dengan pertingkahan apabila kecantikan sudah tidak dapat dipermodalkan. Tiada manusia boleh kekal cantik dan tiada manusia boleh kekal muda. Tiba masanya kecantikan akan hilang dan muda bertukar tua.

Jika anda merasakan kurang cantik, ketahuilah itu hanya persepsi anda sahaja. Ukuran cantik tidak pernah sama antara seorang dengan seorang yang lain. Lihatlah orang yang kita rasakan langsung tidak cantik, kadang-kadang jodohnya dengan orang hansem; hingga kita berkata dalam hati, ‘Buta ke dia?’
Hiasi diri anda dengan keperibadian mulia, itu lebih utama untuk seorang wanita; hiasi juga wajah anda seadanya, sebab itu lumrahnya wanita. Usah terlalu merawat wajah nanti anda hilang identiti diri. Hargai diri kerana andalah satu-satunya; tiada duanya dan tiada tiganya. Hanya anda!

No comments:

Post a Comment