Saturday, December 25, 2010

Mengertilah...

Aku tak tahu bagaimana untuk aku bicarakan rasa ini. Adakah ia rasa amarah, sendu dan tangis atau teruja yang merungkai dalam diri ini. Perasaan yang sukar untuk ditafsirkan oleh kata bibir samada ia kata hati atau kata fikiran. Aku pasti ramai yang pernah rasai perasaan aku kini. Walau mungkin ia berlaku sekali namun kesan yang mendalam menghantui perasaan. Sukar untuk digambarkan.

Mengapa begitu sukar untuk insan lain berada dalam diri insan yang lain? Mengamati setiap titik perasaan yang mereka alami. Bak sang tua berkata " Berat mata memandang berat lagi bahu memikul ". Dan pada itu jua insan lain hanya mampu memandang, tersenyum dan terus mengata. Bukan semudah bicara lidah atau seringan habuk diruang usang. Melangkah berat hadapi setiap detik mendatang.

Kesempatan diragut tanpa rasa bersalah. Dikambing hitamkan manusia tanpa belas kasihan. Tertanya-tanya apakah sebenarnya wajah tersirat disebalik keindahan ciptaan Tuhan. Sesungguhnya ia indah dimata namun siapalah insan lain untuk menghakimi disebaliknya. Apakah erti kemanusiaan dalam kewarasan ini?

Sedih bila difikirkan apatah lagi bila ia perlu dihadapi. Apakah kesalahan insan lain sehingga diperlakukan begitu. Adakah ia kerana benci? Iri? atau mengambil kesempatan atas kelemahan atau kelebihan insan lain? Malah bukan mudah jika ia hadir dari insan yang kenal haruman dan bahang diri insan itu. Hilang arah dan hilang punca. Diluah mati emak disimpan mati bapa. Sukar untuk ditafsirkan perasaan tersebut. Luluh rasa hati, hancur kasih jiwa. 
 
Fahamilah diri sendiri yang mahu difahami. Fahamilah insan lain jika mahu difahami. Benar manusia itu ego namun itu bukan tanda kewarasan manusia. Kenapa insan lain mampu mendalami perasaan dan kedudukan yang lain namun sukar bagi mereka yang lain? Sukar untuk difahami. Sedih untuk menghadapi.

No comments:

Post a Comment