Saturday, December 25, 2010

Persoalan Hati...

Apakah benar begitu sukar untuk kita buang keegoan diri? Apakah insan lain tidak pernah dikurniakan perasaan? Atau kepentingan diri dipertuhankan? Ada apa dengan ego? Aku mula letih, aku mula jemu.


Aku akui ia adalah sebahagian dari diri manusia namun bukan sewenang-wenangnya alasan manusia biasa itu diajukan. Hati dan perasaan insan lain diperkotak-katikan tanpa rasa belas mahupun kesian. Demi mempamerkan kekuasaan diri. Keangkuhan diri menjadi nadi dalam perbuatan yang mampu membunuh insan lain. Tidak pernahkan mereka fikirkan bahawa hidup ini penuh dengan karma. Bak kata pepatah " Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat ". Atau mereka lupa bahawa hidup ini bagaikan roda. Aku merayu wahai mereka untuk kenangkan walau sedikit perasaan insan lain. Jika sekali hati manusia terluka, takkan hilang parut selamanya. Seikhlas mana kemaafan itu, kesannya tetap dalam tak tergapai.


Aku sememangnya tidak sempurna. Aku juga ada rasa cemburu, rasa suka, rasa kuasa dan pelbagai lagi perasaan yang manusia lain mampu rasakan. Bukan niat aku untuk membanggakan diri atau " cakap besar " namun aku mampu untuk mengalah demi menjaga hati insan lain. Ada juga kala aku terpaksa untuk melepaskan perasaan aku dan adakalanya mereka yang ada disamping aku terkena tempias. Bukan niat aku untuk melepaskannya tapi aku ingin mereka tahu bahawa aku juga dikurniakan perasaan. Aku bukan boneka mahupun tiang seri yang tegak berdiri. Demi insan lain aku sanggup korban diri aku. Kerna aku takut melukakan hati dan perasaan insan lain. Sungguh aku mengerti rasa dilukakan dan dikecewakan. Selagi aku ikhlas, aku percaya Tuhan sentiasa ada dengan aku.


Dalam hidup aku, aku belajar untuk menerima keadaan dengan hati yang terbuka. Mengalah dan ikhlas dalam melakukan sesuatu. Seorang ibu ingin melihatkan anaknya mampu mengharungi hidupnya dengan tabah. Itu juga yang ibuku didik aku, pengalaman dan jalan hidup aku menjadi guru dalam aku mengharungi kehidupan aku yang sememangnya mencabar. Jujur aku katakan yang aku pernah terfikir untuk memohon Tuhan memanggil aku ke sisi-Nya. Aku sudah tak mampu menghadapi keadaan ini. Malah aku tidak mahu lagi insan lain menanggung dosa kerana aku. Aku sedar itu bukan jalan penyelesaian dalam hidup. Kehidupan selepas itu sememangnya aku percaya bukan semudah yang kita sangka. Aku teruskan kehidupan aku dengan senyuman walaupun berat untuk aku kuntumkan. Setidak-tidaknya senyuman itu memberi aku keyakinan dan kekuatan demi meneruskan sebuah kehidupan yang penuh dengan cabaran dan iri.

No comments:

Post a Comment