Sesungguhnya Allah menciptakan cinta dan Dialah juga yang menghamparkan bahagia. Dia yang mengutuskan duga dan Dialah juga yang mengirimkan hampa. Namun hakikatnya itu semua adalah bukti kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya dan juga sebagai kayu ukur menguji keimanan kita kepadaNya.
Bukannya Dia tidak tahu betapa sedihnya hatimu dan sengsaranya jiwamu. Apabila bahagia yang dipinta namun penderitaan yang tiba. Bukannya Dia ingin menzalimi hamba-hambaNya sedangkan kita semua diciptakan untuk mengabdikan diri kepadaNya. Namun yang sebenarnya, semua itu ditakdirkan sebegitu kerana Dia Maha Mengetahui bahawa hati yang pernah di'ratah' dengan kesedihan, jiwa yang di'baham' dengan penderitaan, akan tiba satu masa pasti mencari tempat pergantungan dan ketika disitulah seorang hamba yang benar-benar beriman akan kembali kepadaNya dalam kehidupan. Dia mengetahui hati dan jiwa sebegini akan lebih dekat dan akrab denganNya dengan merintih dan memohon kepadaNya.
Kekadang Allah takdirkan ujian dan dugaan untuk menyedarkan kembali jiwa-jiwa yang lalai dan hati yang terleka agar kembali semula kepadaNya. Adakalanya musibah itu terjadi untuk menyedarkan jiwa dan hati di atas perbuatan yang telah kita lakukan.
Betapa hebatnya perancangan dan ketentuan Allah Ta'ala, tidak mengira tempat dan juga masa, setiap detik yang Dia ciptakan pasti ada rahmat dan hikmah yang terkandung disebaliknya. Namun hanya orang terbuka hatinya yang mampu mencari hikmat tersebut. Oleh itu, sucikanlah hati dan bersihkan jiwa agar hati kita sentiasa terbuka dengan hidayahNya.
Usahlah berdukacita dengan kesusahan dan penderitaan kerana di sebaliknya ada rahmat dan hikmah yang tersembunyi dalam kehidupan. Dan janganlah juga terlalu bergembira dengan kebahagiaan dan kesenangan kerana tidak mustahil di sebaliknya sedang menanti di akhirnya penderitaan dan kesengsaraan.
Ingatlah, kita tidak mampu untuk menafsir apa yang bakal berlaku pada masa depan hatta sesaat pun kita tidak dapat menduga apa yang akan berlaku. Setiap sesuatu dalam hidup ini bukanlah satu kepastian di masa depan sebagaimana dalam sangkaan kita. Everything happens for a reason... Wallahu'alam.
Friday, July 13, 2012
Bersangka Baiklah Dengan Ujian Allah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment