Ain merenung lautan biru di hadapannya. Masih terngiang-ngiang di telinga akan kata-kata yang diucapkan oleh Hakimi, insan yang mendorongnya untuk mencapai cita-cita. Dia melepaskan keluhan.
"Ain dah fikir masak-masak?" soal Hakimi. Dia mengangguk.
Hakimi menggeleng-gelengkan kepala. "Kalau macam tu, buat apa susah payah belajar tinggi-tinggi. Dapat ijazah? Lagipun, kerja tu kotor. Bergelumang dengan rumput, cuci najis, eee... "
"Ain tu pemegang ijazah Petrokimia, takkan nak kerja jadi penternak! Suruh je orang lain buat kerja tu, senang!" Hakimi begitu lantang melemparkan ketidakpuasan hatinya. Sedikit pun dia tidak mengendahkan perasaan Ain yang semakin berkecamuk.
"Apa yang salah kerja penternak tu? Ain tahu memang jauh bidang yang akan Ain ceburi dengan apa yang Ain pelajari. Rezeki, ajal maut di tangan Tuhan." Hakimi mencebik. "Kimi, Ain cuma minta pendapat. Keluarga Ain bukan orang senang. Abah perlukan Ain. Keluarga perlukan Ain. Ain bantu keluarga sendiri."
"Habis Kimi ni siapa?! Kimi ni dah tak wujud lagi?" bentaknya.
"Kimi masih insan yang Ain sayang. Ain mencari rezeki yang halal walaupun terpaksa bergelumang dengan kotor. Kalau semua orang nak kerja bersih, kerja senang, sapa yang buat kerja-kerja tu? Tak adalah petani, penternak, peladang kat dunia ni." Luah Ain.
"Takkan Ain dah lupa apa yang pernah Ain katakan pada Kimi dulu? Mana Ain campakkan cita-cita Ain?"
"Ain tak pernah lupa. Mungkin satu hari nanti, Ain dapat gapai apa yang Ain citakan walau ia mengambil masa yang lama." Ain merenung mata Hakimi. "Kalau Kimi di tempat Ain, bagaimana? Mengalah atau melawan?" Ain cuba menduga.
"Terpulanglah! Itu keputusan Ain! Jangan menyesal!" Hakimi meninggalkannya dengan rasa marah. Ain kecewa dengan sikap yang dipamerkan oleh Hakimi namun ia tetap tidak akan mengubah keputusannya.
*****************************************************************************************************************
"Ain! Mari sini! Tolong abah bagi makan lembu ni!"
"Ya abah!" Tangannya pantas mengaut rumput dengan penyodok dan memberi lembu-lembunya makan. Dia agak janggal melakukan kerja-kerja ini namun dicekalkan hatinya. Kerana dia.... Ain sanggup melakukan apa sahaja. Ain menyarung butnya dan mengatur langkah. Hari ini ibu tidak dapat datang awal kerana menguruskan adik-adik ke sekolah.
Tepat 7 pagi, lembu-lembu baka Australia-Fresian- Sahiwal (AFS) itu memasuki petak-petak untuk makan. Kemudian, Ain menurunkan anak-anak lembu dari kandang berdekatan dan dibawa ke ibu lembu. Kerja Ain belum berakhir. Lembu-lembu perlu diberi makan sehingga kenyang untuk menghasilkan susu yang banyak. Abah masih menunggu bantuan kewangan dari Jabatan Haiwan untuk membeli mesin memerah susu. Ain kegelian ketika pertama kali diajar oleh abah cara memegang puting lembu.
Enam bulan berlalu. Sepanjang itu juga, Ain tidak mendengar khabar berita daripada Hakimi. Ain cuba menghubunginya tetapi gagal. Jejaka itu sukar dipujuk. Namun Ain redha akan apa yang terjadi.
Ain masih ingat bagaimana abah memulakan kerjaya barunya itu. Bermula dari seorang eksekutif teknikal di sebuah syarikat swasta dan akhirnya menjadi seorang penternak lembu. Abah terima tawaran berhenti secara sukarela ketika syarikatnya mengalami kegawatan. Dengan pampasan yang diberikan, abah menternak lembu tenusu.
Ain ketika itu hanya mampu memberikan sokongan kerana dia sendiri sedang berjuang untuk memiliki segulung ijazah. Anis, adik keduanya berada di Universiti Teknologi Malaysia dalam jurusan kejuruteraan awam dan Anas adik ketiganya, berada di asrama penuh manakala Amin dan Ayu masih bersekolah menengah dan rendah.
Selepas dua bulan membuat persiapan seperti membina rumah, kandang, stor, bilik sejuk untuk menyimpan susu dan sebagainya, abah ditemani seorang kawan berlepas ke Australia. Setelah mendapat khidmat nasihat daripada pegawai perubatan haiwan, abah memiliki baka AFS yang bersesuaian di Malaysia.
"Ain, boleh abah tanya sesuatu?" soal abah ketika mereka duduk berehat.
Fikirannya penuh tanda tanya. "Kenapa, abah?"
"Ain tak menyesal?" soal abah lagi.
"Menyesal?"
"Kerja dengan abah. Kotor, tangan Ain pun kasar. Selalu luka-luka bila nak potong pelepah kelapa. Ain tak teringin nak kerja yang setaraf dengan kelulusan Ain?"
Ain tersenyum. "Entahlah abah, Ain dah lupakan semua tu. Menyesal atau tidak, Ain perlu hadapi kehidupan ini. Lagipun Ain tolong abah sendiri, kan?"
Abah mengeluh perlahan. "Abah tak pernah halang cita-cita Ain. Abah tak pernah paksa Ain buat kerja-kerja di kandang walaupun abah tahu kesusahan yang sedang keluarga kita alami."
"Ain ikhlas bantu abah. Ini titik peluh keluarga kita. Pendapatan kita pun semakin bertambah, cukup untuk menampung keperluan semua. Janganlah abah risaukan Ain." Dia memberikan keyakinan kepada abah. Dia tidak mahu abah mengaku kalah.
"Hakimi?" Abah menyoal lagi.
Tersentak dia mendengar nama jejaka itu. Senyumannya hambar. "Hakimi tak boleh terima Ain, abah."
"Tak cuba pujuk dia?"
Ain mengangguk. "Biarlah, abah. Kalau dah jodoh, pasti akan bersatu."
"Dia bukan gunung, Ain. Dengar cakap abah. Ain perlu fikirkan tentang diri Ain juga. Abah izinkan Ain menikmati masa muda asalkan tahu menjaga batas-batas agama. Tahu jaga nama keluarga." Abah menepuk perlahan bahu Ain. "Umur Ain pun semakin meningkat. Takkan Ain nak kahwin dengan lembu jantan tu?" Abah menunjuk ke arah seekor lembu jantan yang sedang mengunyah rumput. Ain mengekek ketawa.
Perasaannya masih terguris dengan sikap Hakimi. Dia faham bukan mudah untuk seseorang lelaki menerima seorang wanita yang berkecimpung dalam bidang yang lasak dan kotor sepertinya. Dia sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Hakimi tidak nampak akan kelebihannya itu.
************************************************************************************************************
Setahun berlalu pergi. Dua hari lepas, Ain menyusulkan agar tanah yang masih kosong berdekatan dengan kandang lembu, dibina reban ayam penelur. Abah bersetuju walaupun dia tahu ia memerlukan modal. Dua orang pekerja diambil untuk membantu Ain menguruskan ayam-ayamnya.
Minggu itu, ibu datang bersama adik-adik Ain. Anis, Anas, Amir dan Ayu sedang bercuti dan mereka mengambil kesempatan menolong abah dan Ain di ladang. Gembira hati Ain tidak terkira melihat kedatangan adik-adik yang amat dirinduinya. Hari itu, abah keluar awal tanpa pengetahuan Ain. Ain sendiri tidak berprasangka apa-apa dan cuma menyangkakan abahnya keluar ke Jabatan Haiwan untuk menguruskan bantuan kewangan yang dipohonnya.
"Ain, ibu ada bawakan surat untuk Ain."
Ain terkesima ketika ibu menghulurkan sepucuk surat kepadanya. Surat bercop PETRONAS ditatap lama. Seketika kemudian, dia merenung wajah sayu ibunya. Ibu tersenyum dan terus meninggalkan Ain keseorangan.
"Sukacita dimaklumkan bahawa permohonon anda untuk menjawat jawatan Eksekutif Teknikal di syarikat telah diluluskan. Sila laporkan diri anda di pejabat kami di Chukai, Terengganu pada 16 Oktober 2002. Segala kerjasama anda adalah amat diharapkan. Sekian, terima kasih." Ain melipat semula surat itu. Airmatanya bergenang. Dia pernah memohon jawatan itu tanpa pengetahuan abah. Hasratnya untuk mencuba dan dia tidak menyangka permohonannya berjaya. Perasaannya kini gembira berbaur sedih. Jawatan itu menawarkan pendapatan yang lumayan, setaraf dengan kelulusan yang telah dimilikinya. Cuma... dia tidak mahu meninggalkan abah. Lagipun belum ada lagi adik-adiknya yang dapat meneruskan kerjayanya ini.
"Patutkah aku memberitahu abah?" Soal hatinya. Fikirannya bercelaru. Kedatangan Anis datang menyedarkannya daripada lamunan.
"Kak, Anis nak beri kakak sesuatu." Di tangannya tergenggam sepucuk lagi surat yang membuatkan hatinya semakin berdebar-debar.
"Surat dari siapa pula?" soal Ain.
"Surat daripada buah hati pengarang jantung akaklah." Anis mengekek ketawa. Surat beralih tangan. Termangu Ain di situ dengan kehadiran dua surat berkenaan.
Salam ingatan buat Anissa Bukhari,
Apa khabar dirimu? Kimi di sini sihat walafiat dan begitu juga harapanku agar dirimu terus sihat menjalankan rutin harianmu. Bagaimana dengan hasil ternakanmu? Semakin bertambah? Kimi ingin memohon seribu kemaafan kerana keterlanjuran kata sehingga menyinggung perasaanmu. Kimi sedari apa jua keputusan yang Anis buat adalah yang terbaik. Kimi sedar Kimi bersalah padamu setahun dahulu. Maafkanlah Kimi. Oh ya, untuk pengetahuanmu, Kimi berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Jepun. Doakan kejayaan Kimi di sini. Percayalah Anis, kasih sayang Kimi tidak pernah luntur. Kimi harap agar Anis masih menyayangi diri ini. Berilah peluang kali kedua untukku memperbaiki kesilapan lama. Sampai di sini dahulu coretan buatmu. Sampaikan salamku buat semua. I love you Anissa!
Ikhlas dari perantauan,
Hakimi Mansor Kau masih mengingatiku, Kimi? Ain tersenyum. Ternyata kuntuman kasihnya masih mekar terhadap jejaka itu. Kini, insan yang dirinduinya telah jauh di rantau orang dan dirinya masih di ladang itu. Tiada penyesalan yang perlu dirasakan dan dia begitu senang dengan keadaan hidupnya.
Keadaan riuh rendah di luar rumah kecil. Dia berlari mendapatkan ibu. Rupa-rupanya abah baru pulang dan adik-adik Ain menyambutnya. Ain tergelak diikuti oleh ibunya. Abah tersenyum memanjang seperti ada sesuatu yang amat menggembirakannya hari itu.
"Kenapa abah tersenyum lebar je ni?" Ain cuba bertanya.
"Cuba teka."
Ain menggelengkan kepala. Begitu juga ibu dan adik-adik.
Abah menarik nafas dan berkata, "Baguslah semua ada di sini. Bolehlah kita berbincang anak beranak."
"Abah ada tiga berita gembira."
"Tiga?" Masing-masing bertanya.
"Ya, tiga. Pertama, abah berjaya mendapat bantuan kewangan untuk membeli mesin memerah susu. Lusa, Jabatan Haiwan akan hantar ke sini. Kedua, abah dapat peluang berniaga daging dan susu segar di pasar awam." Abah diam seketika.
"Ketiga, abah?" Anas spontan bertanya.
"Tanya kak Ain."
Adik-adik mula memandang Ain. Ain dalam tanda tanya. Apa maksud abah? "Ain tak faham, abah."
Abah bangun. "Sudah tiba masanya Ain memikirkan diri Ain pula. Abah sanggup melepaskan Ain pergi demi cita-cita yang ingin Ain gapai. Abah tahu Ain dah terima surat jawapan dari PETRONAS."
Ain memandang ibunya. "Maafkan ibu, Ain."
"Jangan salahkan ibumu. Abah tahu niat kamu baik, ingin terus menolong abah di sini. Janganlah kamu risaukan abah, abah kan dah ada empat orang pekerja? Sampai bila Ain sanggup bertahan di sini?"
"Ain tak pernah minta balasan. Ain ingin balas jasa abah ibu yang bersusah payah membesarkan Ain dan adik-adik. Ain tidak terfikir untuk meninggalkan abah hanya untuk mengaut pendapatan yang lumayan."
Ibu memeluk Ain. "Bukan itu maksud abahmu, sayang. Kami benar-benar menyayangimu dan adik-adik dan kerana itu, kami tidak pernah menghalang apa yang ingin kamu lakukan. Syukurlah kerana kami dianugerahkan anak-anak seperti kamu semua." Ain memeluk erat ibunya.
****************************************************************************************************************
Kini, dua tahun berlalu. Ain masih tetap setia dengan kerjayanya. Terasa berat untuk meninggalkan ladang yang mengajarnya erti kehidupan sebenar dan yang paling penting, Ain tidak sanggup meninggalkan abah, insan yang amat disayanginya. Tawaran yang diterimanya terus diabaikan. Dan setiap bulan, dia menerima kunjungan warkah daripada Hakimi Mansor. Tinggal setahun lagi pengajian Hakimi akan berakhir. Dan dalam tempoh setahun itu, Ain menanti dengan penuh debaran.
Perniagaan abah menjual daging dan susu segar di pasar awam mendapat sambutan. Malah abah menjadi pembekal susu segar untuk beberapa buah syarikat. Abah juga menjual lembu-lembunya yang cukup matang bagi ibadah korban dan akikah. Ain semakin berbangga dengan kejayaan abah. Ternyata usaha mereka sekeluarga tidak sia-sia. Ternakan ayam penelur yang diusahakan Ain juga mendatangkan hasil yang lumayan. Ain tersenyum senang setiap kali memandang ladang ternakannya yang semakin berkembang.
Ain merenung dirinya di cermin. Dia membelek-belek wajahnya. Kemudian ditenung pula badannya yang semakin kurus. Dia tidaklah secantik Wardina Saffiyah, artis pujaannya, namun dia bersyukur dengan anugerah Ilahi kepadanya. Apalah yang seorang wanita mahukan dalam hidupnya? Dia mahu menyayangi dan disayangi, mempunyai keluarga dan berkeluarga, menjadi seorang anak kepada kedua ibu bapa, seorang kakak atau adik, seorang isteri kepada seorang suami dan menjadi seorang ibu kepada anak-anak yang bakal lahir dari rahimnya dan menjadi peneraju kepada agama dan bangsa. Itulah impian seorang wanita termasuk dirinya. Bagaimana penerimaan Hakimi terhadapku? Ikhlaskah dia menerimaku kini? Hatinya terus berkata-kata.
****************************************************************************************************************
Hujan turun dengan lebatnya. Hatinya dirundung perasaan gelisah. Entah mengapa kerja yang dilakukannya dari awal pagi serba tidak kena. Dia melihat jam di tangan. Sepatutnya abah dah balik, tapi tak nampak pun lorinya, hatinya berbisik.
"Kenapa dia lambat sangat hari ini?"
"Kenapa cik Ain?" soal Saiful yang menyedari perubahan Ain sejak pagi itu.
"Abah.... " Hanya itu yang terkeluar dari bibirnya. Hatinya semakin tidak keruan. Dia terbayangkan abah. Hujan semakin menggila, seolah-seolah tidak mahu berhenti. Dia sendiri mati akal untuk mencari abahnya. Dia cuba beristighfar dan menenangkan perasaannya. Dia berlari ke rumah kecilnya. Dicapai tuala untuk mengeringkan badannya yang basah dihujani di luar tadi. Tudung di kepala dibuka. Dia melangkah perlahan ke tingkap. Abah, pulanglah. Ain risaukan abah.
Hingga lewat malam, abah tidak juga pulang ke ladang. Ain melepaskan keluhan. Di hatinya masih tersirat perasaan bimbang bercampur takut jikalau sesuatu terjadi kepada abahnya. Abah takkan pulang ke rumah tanpa pengetahuan Ain, dan selalunya Ain akan ikut sama jikalau abah merindui ibu dan adik-adik yang hanya akan datang ke ladang pada hujung minggu sahaja.
Telefon bimbit Ain berbunyi. Dia tersentak diri dan terus menjawab panggilan itu. Telefon terlepas dari genggaman. Ain terduduk ke lantai. Air matanya mengalir, sederas hujan yang masih lagi membasahi bumi di luar sana. Tiada siapa yang dapat meredakan tangisannya kali ini. Kerisauan Ain menjadi kenyataan. Mimpi buruknya menjadi realiti.
"Abah.... isk... isk..." Hanya nama itu yang disebutnya. Dia memeluk tubuhnya. Terkenang akan gelak tawa insan yang amat disayanginya. Kata-kata nasihat, semangat dan dorongan abah masih terngiang-ngiang di telinganya. Mengapa ini nasib yang perlu Ain terima, abah? Kenapa abah tinggalkan Ain? Sudah hilangkah kasih sayang abah terhadap Ain? Pada ibu? Pada adik-adik? Ya Allah, mengapa dugaan seperti ini yang perlu aku hadapi? Mengapa terlalu awal Engkau menjemput abahku sedangkan anak-anaknya masih ketandusan kasih seorang ayah? Nalurinya berkata-kata, memohon simpati walau tiada siapa yang mendengarnya.
Pintu rumah kecil terkuak. Ibunya menjengukkan muka. Ain berlari memeluk ibu. "Sabarlah sayang, kita balik ke rumah." Ibu masih tabah menghadapi berita seperti ini sedangkan dia....
Ain mencapai beberapa helai baju dan mengikut jejak ibu ke kereta. Sepanjang perjalanan, kedua ibu dan anak diam seribu bahasa. Masing-masing melayani fikiran, mengingati pemergian insan penting dalam keluarga.
Mereka tiba di rumah. Kini, umurnya baru meningkat 25 tahun dan belum puas menikmati kasih sayang abah. Itu bagi Ain, bagaimana pula dengan Amir? Ayu pula?
Jenazah abah selamat dikafankan. Ain dan adik-adik dibenarkan menatap wajah abah buat kali terakhir. Wajah abah tenang, tenang seperti lautan yang tidak dipukul oleh ombak yang kuat. Ain mengucup dahi abah. "Maafkan Ain, abah. Halalkan makan dan minum selama ini. Ain akan sentiasa mendoakan abah." Dia menahan air mata daripada gugur mengenai jenazah abah.
Jam sudah 2 pagi. Abah akan dikebumikan selepas Subuh. Kata tok imam, tak elok biarkan jenazah lama-lama. Ibu bersetuju. Ain memeluk erat Anis dan Ayu. Tersedu-sedan mereka menangis di bahunya. Kata ibu, abah terlibat dalam kemalangan ketika pulang menghantar susu ke Pusat Pengumpulan Susu Jabatan Haiwan. Sebuah trailer dari arah bertentangan hilang kawalan dan merempuh lori abah. Abah tersepit di tempat pemandu dan semasa anggota penyelamat datang, abah sudah menghembuskan nafas yang terakhir.
Jenazah selamat dikebumikan. Seluruh ahli keluarga Ain mengiringi jenazah. Tangisan masih belum reda. Ketika melangkah pulang, Ain terpandang sesusuk tubuh yang amat dikenalinya, tidak berbeza seperti dahulu. Tubuh itu mengorak langkah longlai ke arahnya. Tiada senyuman, hanya renungan mata yang sayu diikuti dengan tundukan. Ain membatukan diri apabila tubuh itu berdepan dengannya. Air matanya dikesat.
Hakimi menghulurkan tangan. Tiada sebarang reaksi dipamerkan oleh Ain. Hakimi menggenggam jemari Ain. Lembut. Hakimi mencuit dagu Ain. Ditatapnya wajah yang amat dirindui sepanjang dua tahun itu. Wajah yang manis walau tanpa secalit mekap pun. Ain membalas renungan Hakimi. "Abah dah tinggalkan Ain, Kimi. Abah dah tinggalkan adik-adik Ain, ibu Ain."
Hakimi memaut bahu Ain ke dalam pelukannya. Dia tahu gadis itu masih bersedih hati. "Setiap yang datang, pasti akan pergi, sayang. Kita yang masih hidup, perlu meneruskan perjuangan ini."
Ain mengangguk perlahan.
"Ain, kita teruskan hajat abah. Kimi berjanji akan tolong Ain laksanakan hajat abah itu. Ladang itu kita jaga, bagi makan pada ternakan, perah susu, ok? Kimi akan sentiasa bersamamu."
"Tapi....." Belum sempat Ain menghabiskan kata-katanya...
"Rezeki yang Allah kurniakan ada di mana-mana sahaja. Kimi tahu betapa besarnya pengorbanan abah buat keluarga Ain."
Ain tersenyum. Sungguh dia tidak menyangka Kimi menerima dirinya. Kepulangan Hakimi menguatkan lagi semangatnya. Ya, perjuangan hidup masih perlu diteruskan. Pengorbanan abah di ladang perlu diteruskan. Itu amanah abah. Itu sahaja peninggalan abah buat Ain dan keluarga. Ya, kerana dia.... dia adalah segala-galanya buat Ain. Kerana dia.... |
No comments:
Post a Comment