MENJADI
nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang.
Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah
masih mampu tersenyum menghadapinya.
Jiwa tenang
tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua
sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.
Semua
cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk
sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa
dikenali sebagai gangguan psikologi.
Ia
memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri,
keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang
penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.
Kegelisahan
yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika
itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.
Jiwa tak
tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah
melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.
Maka kita
mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh
anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga,
lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan,
Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang
melakukan dosa.
Mata
hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram
atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu
yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.
Perut mesti
diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga
berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.
Rasulullah
bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya
malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing."
Dimaksudkan
dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala
anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.
Jika kita
mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor
dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.
Malaikat
rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan
'menetap'.
Sifat
tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan
mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.
Itulah
tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam
menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca
daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang
rendah.
Begitu juga sifat
bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat
dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.
Cintakan
kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah.
Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah
saja boleh menghilangkan rasa marah itu.
Al-Quran
memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak
tenteram.
Allah s.w.t
berfirman yang bermaksud:
"Wahai
umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi
penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi
penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi
petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang
beriman." (Surah Yunus ayat 57).
Bahkan
amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa.
Nabi
Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tidak
berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka
membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama,
melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka
dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan
mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat
Bukhari )
No comments:
Post a Comment