Jiwa ini sungguh unik sifatnya. Ada saatnya kita rasa sangat
bertenaga, bersemangat dan tabah. Tetapi, di celah-celah perjalanan kehidupan –
pasti ada titik-titik down kita. Apa perasaan ketika itu? Kita lemah, hilang
segala semangat yang pernah membara dan jiwa terasa amat-amat kosong.
Pertama :
Berusahalah untuk bertahajjud, kerana kemuliaan seorang
mukmin terletak pada tahajjudnya.
Solat Tahajud biasanya dilakukan semasa Qiamullail. Ibadah
Qiamullail adalah kebiasaan para salaful soleh dan syiar para kekasih Allah
SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam hadis
“ Hendaklah kamu mengerjakan qiamullail kerana qiamullail
adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu. Qiamullail mendekatkan diri kepada
Allah SWT, menghapuskan dosa dan megusir penyakit daripada tubuh.”
( Riwayat At-Tirmidzi)
Solat malam merupakan ibadah yang paling afdal kerana ia
lebih mendekatkan diri kepada rasa keikhlasan dan menjauhkan diri daripada
riak. Latihan ini sangat baik untuk mendidik diri agar sentiasa bersih, jernih
dan suci!
Kedua :
Melazimi membaca Al-Qur’an dan zikir al-mathurat sebelum
terbit matahari kerana ia merupakan sumber ketenangan seorang mukmin muslim.
Al-Quran adalah motivasi terulung bagi seorang mukmin. Anda
percaya?Ya. Ia merupakan pengerak dan dinamo utama kepada energi kekuatan
seorang insan untuk melaksanakan segala bentuk kebaikan dan mencegah
kemungkaran.
Tegas Allah SWT dalam Firmannya yang bermaksud :
“ Dan Kami turunkan dari Al-Quran sesuatu yang menajdi
penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(Al-Isra 17 : 82)
Dan satu ungkapan yang menarik yang diucapkan oleh Saidina
Uthman Bi Affan RA : “ Sekiranya hatimu itu suci, nescaya tidak akan kenyang
(puas) dari firman Rabbmu ( Al-Quran).”
Ketiga :
Memelihara kesempurnaan solat kerana inilah kekuatan mukmin
muslim yang utuh.
Solat.Ia merupakan talian hayat utama bagai seorang hamba
kepada Tuannya.
Solat menghubungkan jiwa, ruh dan hati seseorang insan terus
kepada RabbNya. Kesempurnaan solat akan memberi pelbagai bentuk suntikan tenaga
yang mampu menggerakan dan melonjakan produktiviti serta amal proaktif semua
insan.
Kesempurnaan solat terletak kepada kekhusyukan dan
aspek-aspek yang menyempurnakannya. Dengan khusyuk, terbukalah kunci-kunci
pintu hati, bersinar serta terserlahlah cahaya keimanan di dalam hati. Dengan
ini seseorang akan merasai kemanisan iman di dalam jiwanya.
Solat menjadi kecintaan dan kerinduaannya kerana ia mendapat
manfaat bersama ibadah solat. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda :
“ Dan dijadikan mataku sejuk dalam solat.”
( HR Nasai)
Keempat :
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat
dhuha.
Rasulullah SAW bersabda :
“ Pada tiap-tiap pagi ada kewajipan ke atas setiap orang
perseorangan (individu) untuk bersedeqah, dan cukuplah menggantikan semuanya
dengan mengerjakan dua rakaat sunat Dhuha.”
( Riwayat Abu Dzar RA)
Sejujurnya, kita akan merasai kelainan yang berbeza dalam
menjalani kehidupan seharian apabila solat sunnat ini telah menjadi malakah
(darah daging) kita. Rasa janggal kalau termiss atau tertinggal walaupun
sehari.
Kelima :
Sentiasa bersedekah setiap hari. Walaupun hanya dengan
sekuntum senyuman kerana ia penyubur kasih sayang.
Sedeqah adalah amalan yang sangat mulia. Ia membersihkan
diri daripada sifat-sifat yang mazmumah dan menyuburkan sifat kasih sayang
dalam diri manusia. Dan ganjarannya di sisi Allah SWT amatlah besar dan
lumayan.
Allah SWT berfirman :
“ Perumpamaan orang-orang yang menafqahkan hartanya di jalan
Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada
tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi siapa yang
Dia kehendaki dan Allah Maha Luas ( kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah 2 : 261)
Keenam :
Sentiasa memelihara wudhuk terus menerus kerana Allah
menyayangi hamba yang berwudhu’.
Imam Al Banna selalu berpesan kepada sahabat-sahabatnya : “
Bahawa Rasulullah SAW bersabda :” Wudhuk adalah senjata mukmin, kerana itu
setiap Ikhwan mengambil berat soal memperbaharui wudhuk apabila terbatal
walaupun di kala malam yang dingin menusuk tulang.”
Saidina Umar Al-Khattab RA : “ Sesungguhnya wudhuk yang
baik, mengusir syaitan dari dirimu.”
Ketujuh :
Amalkan istighfar setiap masa agar terhapus segala dosa dan
noda.
Apa itu istighfar? Maknanya : Proposal atau “ Permohonan
Ampunan kepada Allah SWT.”
Istighfar ini menunjukan kemampunan seseorang untuk
mengenali kesalahan, dosa, dan kemaksiatan yang telah dilakukan. Kemudian,
muncul perasaan menyesal dan tekad yang kuat untuk tidak mengulangi kesalahan
yang sama.
“ Dan bersitighfarlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Al-Muzamil 73 : 20)
Nasihat Nabi Muhammad SAW kepada kita, sabda baginda :
“ Sesungguhnya hatiku selalu lupa, padahal aku beristighfar
kepada Allah dalam sehari sebanyak seratus kali.”
( HR Muslim dan Abu Daud)
Kelapan :
Perbaharui azam dan tekad untuk terus berkhidmat kerana
Allah SWT
Saban hari, pastinya jiwa dan hati kita akan diuji oleh
Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan cabaran. Dan semestinya, jiwa kita
itu harus disegarkan dengan memperbaharui azam dan tekad agar ia tidak layu dan
kendur.
Terus bersemangat dan mengobarkan cita-cita serta harapan
adalah ciri yang harus pada ada seorang yang ingin melaksanakan tugas yang
berat ini. Iaitu tugas mendaulatkan deen Allah SWT. Dengan sedikit kemampuan
yang Allah SWT berikan kita boleh menyebarkan syiar Islam melalui pelbagai
wasilah dan cara dengan kadar kepakaran serta kebolehan yang kita miliki.
Kesembilan :
Sentiasa ceria, bermanis muka dan berfikiran positif kerana
itulah watak sahsiah seorang mukmin sejati.
Rasulullah SAW mengalakkan agar budaya senyum itu dihidupkan
oleh para sahabat dengan ungkapannya : “ Senyum itu adalah sedekah.”
Senyuman itu akan membahagiakan sesiapa sahaja yang melihat
kita dan pastinya ia akan membenihkan bibit-bibit kasih sayang di dalam jiwa
manusia. Sahsiah inilah yang harus dihidupkan bagi melahirkan masyarakat yang
harmoni hidup berkasih sayang di bawah naungan Islam.
Seharusnya juga, seseorang mukmin memelihara kesentiasaan
positif dan meninggalkan pengaruh yang baik terhadap individu disekitarnya.
Imam Al-Banna berkata : “ Orang soleh sentiasa meninggalkan
pengaruh yang positif di mana pun ia pernah berada.”
Kesepuluh :
Memelihara Diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah
SWT kerana disitulah terletaknya nilai amalan di sisi Allah SWT.
Ikhlas adalah ibadah hati yang pertama, terpenting,
tertinggi dan merupakan asas utamanya. Firman Allah SWT :
“ Dan mereka tidak diperintahkan, selain untuk beribadah
kepada Allah SWT mengikhlaskan agama hanya untuk-Nya dengan penuh ketundukan.”
( Surah Al-Bayyinah 98 : 5)
Ibnu Qayyim berbicara mengenai ikhlas : “ Ikhlas adalah
menjadikan Allah SWT sebagai matlamat dalam melakukan ketaatan, iaitu anda
memiliki matlamat hanya pada Dia sahaja, bukan kepada selain-Nya.”
Penutup : Agar Jiwa Kita Sentiasa Terisi
Andaikata sudah lama kekosongan jiwa kita terlopong tanpa
apa-apa sentuhan, maka marilah kita isinya dengan Super 10 ini. Ia akan
benar-benar menjadi dan berkesan apabila kita sendiri yang melaksana sebagai
agenda serta amalan kehidupan kita.
Ayuh, rakan-rakan – kita menjadi 10 amalan ini sebagai
kekuatan diri kita dalam rangka menjadi hamba Allah SWT.
No comments:
Post a Comment