Tuesday, June 12, 2012

Menggembirakan orang lain

Saya suka memerhatikan manusia. Kehidupan manusia amatlah unik dan menarik. Pada manusia, ada kelebihan yang memang tidak ada pada makhluk lain. Antara kelebihan manusia adalah hati. Hati manusia ini bergerak dalam keadaan yang unik. Antara yang unik adalah perasaan manusia kepada manusia lain.

Kadang-kadang, secara tidak kita sedari, kehidupan manusia lain mampu memberikan kesan kepada kehidupan kita. Bila manusia lain gembira, kita turut senang hati. Bila manusia lain kesedihan, kita turut berduka kasihan. Perasaan ini wujud dalam keadaan fitrah, kecuali bagi fitrah mereka yang telah dicemari dengan hasad dengki dan kebencian.

Sebab itulah, saya hendak menimbulkan persoalan.

Siapakah yang nampak bahawa, menggembirakan orang itu adalah satu keperluan?

Semestinya, gembira yang saya maksudkan di sini bukanlah gelak ketawa mengilai macam pontianak dalam cerita-cerita yang biasa kita lihat. Bukan juga ketawa berdekah-dekah guling-guling hingga lupa segalanya. Tetapi gembira yang saya maksudkan adalah percikan harmoni di dalam hati, yang kemudian menimbulkan satu suasana yang menyenangkan lagi menenangkan.



Saya lihat sendiri dalam kehidupan saya, interaksi antara manusia banyak memainkan peranan, memberikan kesan. Kalau semua orang di sekeliling saya gembira, maka saya akan turut jadi bersemangat. Kalau semua orang di sekeliling saya bersedih, saya akan turut gelisah. Tambahlah jika ada konflik yang berlaku, atau wajah sahabat menunjukkan mimik yang tidak menyenangkan, sememangnya hati tidak akan tenang.

Maka, sepatutnya, tugas kita sebagai salah seorang dari manusia yang hidup di tengah-tengah manusia lain adalah, mewujudkan suasana harmonis sesama kita. Sebarkan kegembiraan kepada semua. Kalau boleh, kita tidak mahu ada yang bermuram durja. Perlu sebenarnya dalam hati kita rasa susah jika melihat wajah orang yang sugul dan bermasalah.

Rasa ini, tidak akan muncul jika kita tidak menganggap manusia itu adalah sebahagian dari saudara kita. Rasa ambil berat, dan hendakkan semua orang bahagia dan gembira ini hanya akan muncul dengan pacuan rasa persaudaraan yang tinggi.



Adakah kita mempunyai perasaan sedemikian rupa?

Rasulullah SAW sendiri menggalakkan kita menyebarkan kebahagiaan ini.

“ Engkau tersenyum di hadapan saudaramu adalah sedekah” Hadith riwayat Bukhari.



“ A smile, is a charity

Like a million bucks to the refugee”

When Angel Lower Their Wings, Outlandish

Kita sentiasa tahu bahawa kita ini bersaudara. Saudara atas dasar iman dan aqidah. Tetapi, sejauh manakah rasa persaudaraan itu berakar umbi dalam kehidupan kita? Adakah kesukaran yang dilalui oleh orang lain tidak memberikan kesan kepada kita? Adakah kesenangan manusia lain hanya mengundang cemburu kepada kita?

Harmonis telah dibunuh oleh sifat ananiah manusia sebenarnya. Malah, sebahagian manusia mula merasa bahagia dengan kesedihan orang lain, dan benci pula denngan kejayaan manusia lain. Rasa yang buruk lagi keji inilah yang mengoncangkan keamanan kehidupan insan.

Memang, akan ada yang menyatakan bahawa menggembirakan manusia lain hanyalah satu tindakan yang tidak praktikal, tidak realisitik. Hal ini kerana, zaman kini, manusia semua hidup sendiri-sendiri. Kalau kita kisah pada mereka pun, mereka tidak akan kisah kepada kita. Tetapi, siapakah yang pernah mencuba untuk menggembirakan orang lain dengan sepenuh usaha?

Hati manusia ini, ibarat magnet yang berlainan kutub sebenarnya. Tetapi, dua magnet ini tidak akan bercantum, sekiranya tiada yang menggerakkannya. Jadi, siapakah yang berusaha untuk menggerakkan? Kita selalu bercakap akan harapan untuk melihat penyatuan, kita selalu melaung-laungkan berkenaan kesatuan. Maka, di manakah gerakan kita? Kalau sekadar bercakap teori sahaja, tidak akan menggerakkan kita ke mana-mana.

Nah, apa lagi yang kalian tunggu?

Gembirakanlah manusia di sekeliling anda, keluarga anda, sahabat anda, guru-guru anda. Gembirakanlah mereka dengan akhlak anda yang bersih, gembirakan mereka dengan fikrah anda yang sohih, gembirakanlah mereka dengan senyuman anda bersama pandangan anda yang jernih. Semoga, kegembiraan ini berkekalan hingga ke syurga hendaknya. Mari mulakan, dengan senyuman.

No comments:

Post a Comment