MUSIBAH menguji kekuatan iman seseorang. Orang yang kuat imannya pasti berjaya menghadapi ujian yang tersedia ganjaran besar. Mereka bersabar dan reda dengan ketentuan Allah, menghadapinya dugaan dengan perasaan dan fikiran positif.
Umat Islam perlu sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Apa yang terjadi pasti tersimpan hikmah besar. Anggaplah ia kebaikan dan mengucap syukur apa yang berlaku. Cubalah muhasabah diri dan berfikir sebab berlakunya musibah.
Rasulullah SAW sentiasa memberi pengharapan yang tinggi supaya umatnya tidak berduka cita apabila berdepan dengan musibah. Setiap musibah yang menimpa menuntut kesabaran tinggi untuk menghadapinya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa saja di kalangan umat Islam yang ditimpa kesakitan daripada penyakit, maka tidak ada selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya (dosa kecil) dengan sebabnya seperti mana pokok menggugurkan daunnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Musibah penyakit banyak hikmahnya. Apabila diuji dengan penyakit dan penderitaan, manusia sedar kekuatan dirinya tidak mampu bertahan selamanya. Manusia mudah lupa jika sentiasa sihat. Bahkan, Firaun mengaku dirinya tuhan antaranya disebabkan dia tidak pernah ditimpa penyakit.
Ujian menderita akibat penyakit memberi kesan psikologi yang mendalam kepada manusia, berbanding dengan ujian lain. Apabila menderita penyakit berbahaya atau rasa kesakitan teramat sangat, maka terlintas mengenai kematian.
Apabila Allah menurunkan ujian, secara langsung mengingatkan kita kepada kekuasaan-Nya. Dia berkuasa menentukan segala yang diinginkan terhadap hamba-Nya. Segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada setiap orang boleh ditarik pada bila-bila masa dengan pelbagai cara.
Musibah adalah peringatan bagi manusia muhasabah diri kerana ujian mendorong perasaan insaf dan memperbanyakkan istighfar supaya tidak terus dalam kelalaian duniawi.
Memohon keampunan Allah boleh menghalang perasaan angkuh dan sombong. Selama ini kita hanya melihat nasib orang lain, dan kini tiba masanya terjadi kepada diri sendiri.
Bertaubat adalah tindakan spontan biasanya dilakukan oleh mereka yang ditimpa musibah. Ia bertepatan dengan sebab Allah menurunkan musibah ke atas diri seseorang sebagai tanda peringatan.
Orang beriman berasa bersyukur dikenakan musibah sebagai ujian atau sebagai menghapuskan dosa yang dilakukan. Antara dosa dilakukan manusia, ada yang Allah hapuskan melalui pembalasan dalam bentuk musibah.
Oleh itu, orang beriman yang memahami konsep balasan dan ujian diturunkan melalui musibah berasakan dirinya sebagai bertuah. Kesakitan di dunia ini menjadi penyelamat daripada kepanasan api neraka pada hari akhirat kelak.
Ketika Rasulullah SAW mengunjungi sahabat sedang sakit, Baginda bersabda yang bermaksud: “Bergembiralah, kerana Allah berfirman: “Inilah neraka-Ku, Aku menganjurkan menimpa hamba-Ku yang mukmin di dunia, supaya dia jauh daripada neraka pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Hakim).
Pengampunan dosa melalui musibah hanya jika kita menginsafi musibah itu, yakni menerima musibah dengan reda, sabar dan memohon keampunan kepada Allah. Allah suka mendengar pengharapan dan doa hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami pernah menimpakan azab ke atas mereka, namun mereka tidak tunduk kepada Tuhan dan mereka juga tidak berdoa kepada Allah dengan merendah diri.” (Surah al-Mukminun, ayat 76)
Berdoa adalah ibadat dan jika apa yang didoakan tidak dimakbulkan di dunia, balasan kebaikan tetap diperoleh di akhirat atas apa yang dilakukan. Mungkin juga doa itu dimakbulkan dengan digantikan kebaikan lain.
Mereka yang berasa keluh resah dan mempertikaikan musibah yang menimpa dirinya, maka tidak ada apa kebaikan diraih. Mereka itulah hamba yang benar-benar rugi di dunia dan akhirat. Ujian yang sepatutnya menaikkan darjat di sisi Allah tidak diduduki dengan baik.
Firman Allah yang bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: “Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali. Mereka itulah akan mendapat keberkatan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156 dan 157)
Kisah Nabi Ayub yang tabah menghadapi ujian ditimpa sejenis penyakit kulit luar biasa patut menjadi renungan. Akibat penyakit itu, keadaan badannya amat menakutkan mata memandang dan orang lain tidak sanggup melihatnya. Seluruh ahli keluarga tidak mahu mendampinginya, kecuali isterinya.
Iblis tidak senang melihat sifat isteri Nabi Ayub yang setia, lantas menggoda supaya dia meninggalkan Nabi Ayub.
Nabi Ayub berdoa agar cita-cita iblis tidak berjaya dan Allah memperkenankan doa Nabi Ayub serta membalas kesabarannya dengan kejayaan.
Monday, April 23, 2012
Musibah Beri Peringatan Mendorong Keinsafan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment