Kawan, sahabat, rakan, geng, saing, teman, dan bermacam istilah diberikan untuk orang yang boleh berkongsi jiwa dan rasa. Begitu jugalah yang dapat memberikan 'sesuatu' pada diri sendiri. Samada berbentuk input rohani, jasmani, atau juga input buah fikiran.
Kawan amat kuat pengaruhnya pada diri individu. Tambahan pula yang baharu hendak kenal dunia, yang baharu hendak bertatih dalam alam yang selama ini 'asing' bagi dirinya. Dan begitulah siapa sahaja yang berada di sekeliling berpotensi untuk menjadi seorang kawan. Samada beliau boleh diharap atau diri sendiri yang tinggal berharap.
Cuba tanya sendiri - dalam beberapa waktu ini, masih ada atau tidak hubungan hati dengan mereka yang dipanggil kawan, teman, sahabat dan yang sewaktu dengannya itu? Atau sebenarnya perlahan-lahan ingatan terhadap mereka semakin menghilang di telan waktu? Dan jangan terkejut terkadang tiba-tiba menerima sms dari kawan yang dahulu tidak kunjung berita. Cuma kali ini tujuan menyapa adalah untuk membawa 'bisnes punya cerita'. - Sekiranya ini pernah menimpa juga - sabarkanlah dulu jiwa. Semoga ALlah menenangkan hati kita setenang-tenangnya dengan kawan seperti ini.
Untuk mencari kawan memang mudah (ini bagi yang peramah), atau sukar (bagi yang masih 'berat mulut', mungkin juga malu kerana jarang berhubungan dengan manusia) adalah dari diri sendiri juga datangnya. Malahan tentu guru di sekolah pernah berceloteh panjang bercerita tentang bagaimana cara mencari seorang kawan atau teman. Atau ibu dan ayah pernah menasihati 'cari kawan yang macam nih', jangan berkawan dengan orang yang macam itu'. Selagi nasihat dijadikan bekalan insya ALlah selamatlah diri dalam menyelusuri kehidupan. Tetapi jika perkataan yang baik itu hanya lepas di pelipis telinga, takut bahaya sedang menanti di hadapan sana.
Tunggulah juga, di waktu dalam kesusahan, di waktu datangnya ujian, di waktu datang kesedihan. Akan dikenal siapa kawan dan siapa lawan. Biarpun mungkin satu hari nanti bila terjadi 'kekecohan' dengan kawan. Berikan sedikit ruang di dalam hati untuk memaafkan. Masa terlalu sempit untuk berlama-lama dalam bermusuhan.
Teman itu tak semestinya sentiasa menggembirakan.
Teman itu tak semestinya bersama sentiasa.
Teman itu tak semestinya selalu berbicara.
Teman itu tak semestinya berkorban apa saja.
Teman itu adalah yang di dalam hatimu, doamu, dan ingatanmu.
Teman itu tak semestinya sentiasa menggembirakan.
Teman itu tak semestinya bersama sentiasa.
Teman itu tak semestinya selalu berbicara.
Teman itu tak semestinya berkorban apa saja.
Teman itu adalah yang di dalam hatimu, doamu, dan ingatanmu.
No comments:
Post a Comment