Siapa kata sendiri itu tidak bahagia? Tidak menggembirakan?
Zahirnya, orang mungkin nampak seseorang yang bersendirian itu menyedihkan
kerana kekosongan tanpa ditemani. Namun, pada hakikatnya mereka yang bersendiri
itu lebih bahagia sebenarnya.
Bila sendiri, kita mempunyai banyak ruang untuk muhasabah
diri. Biarpun sendiri, kita tetap takkan berada dalam relung kesunyian. Kerana
dengan bersendiri, kita mampu merasai kehadiranNya di sisi kita. SubhanaAllah!
Mampu untuk merasa redup kasihNya yang lagi menenangkan.
Sendiri, mengajar kita untuk memperbaiki diri sendiri tanpa
gangguan dan halangan daripada mereka-mereka.
Sendiri itu terapi. Terapi untuk menguatkan iman. Terapi
untuk perbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Terapi untuk memperbaiki
habluminnanas (hubungan sesama manusia). Terapi untuk membetulkan setiap yang
sumbang.
Kerana, dengan bersendiri, seseorang mampu untuk berfikir
dengan rasional tentang segala hal duniawi mahupun ukhrawi. Mampu membuatkan
seseorang mencari kembali dirinya yang telah hilang. Mampu menilai antara kaca
dan permata. Mampu membezakan antara hitam dan putih.
Sendiri itu juga terapi untuk menghapuskan parut-parut dosa
yang dilakukan. Apa gunanya berteman seandainya diulit dengan cengkaman dosa?
Tentulah hati takkan tenang apabila dosa-dosa tersebut menghantui.
Astargfirullahalazim...
Sesungguhnya, sendiri itu terapi yang indah. Terlalu indah
bagi mereka yang benar-benar memahami istilah sendiri. Allah SWT ciptakan
sendiri itu untuk mengembalikan semula hambaNya yang 'hilang'. Dia biarkan kamu
yakni insan yang terpilih untuk bersendiri hanya semata-mata inginkan kamu
kembali ke jalanNya. Bukan untuk menghukum kamu. Sebaliknya, untuk menyatakan
kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.
Jadi, janganlah bersedih apabila sendiri. Bersangka baiklah
dengan Allah.
Allah SWT berfirman:
"Aku akan bersama (mengikut) sangkaan hamba-hambaKu.
Maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan" (Hadis Qudsi
Riwayat At-Thabrani)
Percayalah, setiap keadaan atau peristiwa itu mempunyai
hikmah yang kadangkala dapat kita fikir sendiri (namun kadangkala hikmah itu
tidak dapat difikir oleh kita manusia biasa). Ingat, Allah Maha Mengetahui apa
yang terbaik untuk kita.
"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik
untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah
mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)
Biarlah kita buruk dan hina pada pandangan manusia, namun
cantik dan suci pada pandangan Allah SWT
No comments:
Post a Comment