Monday, January 10, 2011

Redhalah dengan ketentuanNya...



BismiLLAHir Rahmanir Rahiim.

DALAM meniti liku-liku kehidupan ini,
kita seringkali berasa kecewa. Kecewa
kerana sesuatu yang terlepas dari
genggaman tangan, keinginan yang tidak
kesampaian, kenyataan yang tidak dapat
diterima.. dan akhirnya ia
mengakibatkan sesuatu yang mengganggu
jiwa dan perasaan.

Hidup ini ibarat sebuah belantara.
Tempat kita mengejar segala keinginan
dan sememangnya manusia diciptakanNya
mempunyai kehendak dan keinginan.
Namun, tidak semua yang kita inginkan
akan tercapai, tidak setiap yang kita
idamkan mampu menjadi realiti. Dan,
bukan sesuatu yang mudah untuk
menyedari dan menerima kenyataan
bahawa apa yang bukan menjadi milik
kita tidak perlu kita tangisi. Ramai
orang yang tidak sedar bahawa hidup
ini tidak punya satu hukum iaitu kita
mesti berjaya, mesti bahagia atau yang
lainnya.

Berapa ramai orang yang berjaya tetapi
lupa bahawa segalanya adalah pemberian
Allah yang Maha Pemurah sehingga
kejayaan itu membuatnya sombong dan
bertindak mengikut nafsunya. Begitu
juga kegagalan sering tidak dihadapi
dengan tenang dan sabar sedangkan
dimensi tauhid dari kegagalan adalah
tidak tercapainya apa yang memang
bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi hak kita di
dunia, pasti akan Allah tunaikan.
Namun apa yang memang bukan milik
kita, ia tidak akan mungkin kita
miliki, walaupun ia mungkin telah
menghampiri kita, walaupun kita telah
bermati-matian mengusahakannya.
Seorang mukmin tidak akan bersedih
ketika ditimpa musibah, malapetaka,
dan sebagainya. Tetapi dia bersyukur
kepada Allah dan menjadikan musibah
itu sebagai peringatan dari Allah
terhadap dirinya.

Oleh itu, bila seorang mukmin merasa
sedih ketika ditimpa musibah, maka dia
bukan mukmin sejati. Sebab, apa pun
musibah yang menimpa seorang mukmin,
selalu menguntungkan dirinya,
sebagaimana sabda Rasulullah dalam
sebuah hadis: “Sungguh menakjubkan!
Urusan orang mukmin selalu menjadi hal
yang menguntungkan bagi dirinya. Dan
yang demikian itu hanyalah dialami
oleh seorang mukmin.”

Seorang mukmin bila ditimpa kesusahan,
dan dia mengingat Allah, dengan jalan
itu itulah dia akan memperoleh jalan
penyelesaian yang terbaik. Dia tidak
merasa tekanan batin dalam bentuk
apapun, kerana penderitaan yang paling
berat sekalipun, pasti ada jalan
penyelesaiannya. Seorang mukmin adalah
selalu mengingati Allah dalam keadaan
ditimpa penderitaan yang amat sangat
sekalipun, baik dengan mengucapkan
tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun
dengan membaca Al-Quran, sehingga
membuat jiwanya bersih, bening,
perasaannya tenang dan tenteram.

Rasulullah SAW pun bersabda: “Ingat
akan Allah adalah penawar kalbu,”
diriwayatkan oleh Ad-Dailami oleh
Anas.

Maka wahai jiwa yang sedang gundah
berduka lara, dengarkan firman Allah
SWT; “ Boleh jadi kalian membenci
sesuatu, padahal ia amat baik bagi
kalian. Dan boleh jadi kalian
mencintai sesuatu, padahal ia amat
buruk bagi kalian. Allah Maha
Mengetahui kalian tidak mengetahui.”
(QS. Al-Baqarah 216)

Maka setelah ini wahai jiwa, jangan
kau hanyut dalam dalam nestapa yang
berpanjangan terhadap apa-apa yang
terlepas dari genggamanmu, dari
dakapanmu. Kita lihat di sekeliling
kita, kemudian cerminlah diri sendiri.
Andai kita tidak kenal siapa yang ada
di dalam cermin itu, mulai hari ini
ada baiknya kita mulakan mencari diri
sendiri!

Manusia yang mulia adalah yang
menyedari dengan sepenuh hati bahawa
dia hanyalah hamba, benar-benar hamba,
dalam pengertian hamba yang sebenar-
benarnya, baik secara teori mahupun
praktikal. Dia hanya berfikir
bagaimana memberikan yang terbaik bagi
kehidupan ini, semata-mata mengharap
cintaNya, keredhaanNya, dan lebih dari
itu kerana dia mencintai Allah,
terpesona kepada keindahan Maha
Pencipta, mabuk kepayang
dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah.

Andai ternyata keinginannya tidak
selari dengan keinginan Allah SWT,
ternyata apa yang diharapkannya esok
hari tidak menjadi nyata, malah yang
terjadi adalah sesuatu yang
sebaliknya, maka kita mesti tetap
ikhlas! Kita menerima semuanya dengan
senyum yang mengembang, dengan redha
yang tidak terhitung. Hidupnya hanya
untukNya. DIAlah tujuan hidup, sebaik-
baik tujuan hidup! Sedang yang lainnya
adalah wasilah, alat, bekal, modal
untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Maka, jangan kau tangisi apa yang
bukan milikmu! Kerana, ia memang bukan
milikmu! Maka, bersihkan hatimu,
ikhlaslah.. redha dengan ketentuanNya.
Kerana, kita ini adalah sebenar-benar
hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat
kepadaNya.

Amiin Ya RABBal 'Alamiin.

No comments:

Post a Comment